1
Oktober 2012 - Hari ini genaplah 3 tahun saya mencurahkan bakti dan tenaga di
Universiti Selangor (UNISEL). Tarikh keramat ini merupakan antara tarikh yang
paling bermakna dalam hidupku di mana kehidupanku sebagai seorang mahasiswa
Bachelor of Finance (Hons) di UNISEL bertukar menjadi seorang kakitangan
akademik di Fakulti Perniagaan UNISEL. Banyak kenangan suka dan duka menghiasi
perjalanan saya sepanjang tiga tahun bergelar seorang pendidik. Jujur saya
katakan ianya penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang mendatang tetapi
alhamdulillah saya berjaya mengharunginya dengan baik. Pengalaman yang saya
perolehi telah banyak mengajar saya untuk berusaha menjadi dan memberikan yang
terbaik. Ucapan penghargaan "Terima Kasih" daripada para pelajar
umpama satu hadiah istimewa buat saya. Para pelajar sudah dianggap seperti
seorang adik yang perlukan bimbingan dan panduan daripada insan yang lebih
dewasa dalam menempuhi kehidupan mereka sebagai seorang pelajar. Sudah menjadi
tanggungjawab saya untuk mendidik anak bangsa supaya mencipta kejayaan di dunia
dan juga di akhirat. Rasa bangga apabila melihat anak-anak didik berjalan megah
di atas pentas untuk menerima skrol masing-masing pada hari konvokesyen. Terima
kasih juga buat semua rakan sekerja yang banyak memberikan nasihat dan panduan
dalam menempuhi hidup sebagai seorang pendidik. Hanya Allah SWT sahaja yang
mampu membalas semua jasa baik yang telah dicurahkan kepada saya.
No comments:
Post a Comment